Wednesday, August 25, 2010

PENGENALAN HERBA

Manusia menggunakan tumbuh-tumbuhan sebagai punca makanan dan perubatan semenjak zaman dahulu lagi. Segala pengalaman dan pengetahuan diturunkan melalui mulut ke mulut dan di warisi turun temurun. Namun begitu, apabila dunia semakin moden manusia mencari penemuan baru. Kini, setelah puas disogok dengan pelbagai bahan tiruan, manusia kembali kepada asal iaitu alam semulajadi.

Perubatan tradisional berkait rapat dengan sejarah sosio budaya manusia. Setiap masyarakat di dunia mempunyai sejarah perubatan asli tersendiri. Di Malaysia, perubatan tradisional terbahagi tiga iaitu Melayu/Orang Asli, Cina dan India. Perubatan Cina berasaskan Confucius, India Ayurveda manakala Melayu campuran budaya Hindu, Arab dan Orang Asli. Walaubagaimanapun, semuanya ini mempunyai ciri sepunya iaitu bahan mentahnya berasal dari tumbuhan. Tumbuhan yang di tanam atau hidup meliar di sekitar kawasan hutan dan sebagainya.

Sebanyak 76 spesis paku-pakis dan 1215 spesis tumbuhan berbiji di Semenanjung Malaysia didakwa berkhasiat ubatan, termasuk untuk kecantikan. Lebih 125 ribu jenis tumbuhan ada khasiat perubatan yang berasaskan penggunaan. Pola penggunaan perubatan tradisional kalangan lelaki biasanya untuk menjaga kesihatan, meningkatkan tenaga mental, fizikal dan keupayaan lelaki. Hampir 40 peratus kegunaannya untuk orang perempuan bagi tujuan kecantikan seperti awet muda, melangsingkan badan, kegebuan kulit serta meningkatkan daya tarikan seks, mengawal perjalanan haid dan menjarangkan anak.

Bahagian tumbuhan yang lazim digunakan ialah akar, batang, daun, ranting, buah dan juga keseluruhan pokok. Lazimnya ia berbentuk kasar seperti akar kayu yang dikeringkan atau bentuk segar yang direbus dan diminum airnya. Hanya segelintir diproses, seperti jamu, makjun dan minyak urut/urat. Secara umum kajian setakat ini yang dilakukan oleh Profesor Madya Dr. Marziah Mahmood daripada Jabatan Biokimia dan Mikrobiologi UPM (1993) membuktikan benar mengenai dakwaan dan kepercayaan tentang kebaikan 10 jenis spesis tumbuhan kumpulan kunyit dan jarum emas. Namun begitu, khasiat yang ada tidak stabil dan mungkin hilang dalam pemprosesan atau melalui peruapan. Terutama jika barangan tersimpan lama dalam pasaran.

0 comments:

Post a Comment