Wednesday, August 25, 2010

Pulut-Pulut

Pulut-pulut atau Urena lobata didapati tersebar luas di kawasan tropika seluruh dunia. Ia tumbuh sebagai rumpai di kawasan-kawasan yang terdedah seperti di tepi jalan dan di kawasan buangan. Di Malaysia, spesis ini biasanya boleh didapati di kawasan-kawasan yang berhampiran dengan laut. Tumbuhan ini mudah dibiakkan dengan hanya menanam biji benih yang telah masak. Ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Ianya tergolong dalam famili Maluaceac yang terdiri daripada 1550 spesis tumbuhan di seluruh dunia, terutamanya di kawasan tropika.

Ciri-ciri:

Sejenis tumbuhan renek yang boleh tumbuh sehingga setinggi 1.2 meter. Hampir kesemua bahagian tumbuhan ini diselaputi oleh bulu. Susunan daunnya berselang-selang, selalunya bercuping palmat (berupa tangan) dengan ukuran 6.5 cm lebar. Bunganya yang tunggal tumbuh di celah daun, bersaiz kecil dan berwarna merah jambu. Buahnya pula diselaputi oleh bulu berlengkok dan terdiri daripada lima cuping yang berasingan apabila telah masak.

Kegunaan:

Semua bahagian tumbuhan ini iaitu akar, batang, daun, bunga dan buahnya digunakan dalam pengubatan tradisional rantau ini. Ia boleh digunakan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit seperti radang sendi-sendi, disenteri, sakit perut, malaria, demam, cirit-birit, batuk, penyakit-penyakit kulit, pengeluaran darah berlebihan, penyakit dada dan kesukaran ketika bersalin. Tumbuhan ini juga dilaporkan boleh digunakan untuk melakukan pengguguran (di negara China) dan berguna sebagai penawar racun jika dimakan bersama bunga raya (Hibiscusrosa-sinensis).

Di Malaysia, pucuk dan daun pulut-pulut digunakan di dalam beberapa istiadat tradisi yang berkaitan dengan penanaman beras dan dalam majlis perkahwinan. Ia juga dibawa bersama tangkal pelindung (protective charm) ketika pergi memburu gajah. Kulit pada batang tumbuhan pulut-pulut berserat dan boleh menggantikan rami (jut) dalam industri pembuatan tali dan guni. Di Brazil, tumbuhan ini ditanam secara besar-besaran untuk tujuan tersebut. Terdapat sejenis kertas liat yang diperbuat daripada kulit batang pulut-pulut. Arang kayu yang dibuat daripada pulut-pulut digunakan untuk menghitamkan gigi.

0 comments:

Post a Comment